Kawal Marah dengan Hikmah: Cermin Akhlak Seorang Muslim

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan perjuangan baginda hingga ke hari akhirat.

 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 125:

 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik.”

 

Ayat ini menegaskan bahawa dakwah harus disampaikan dengan penuh hikmah, kelembutan, dan adab. Walaupun berlaku perbezaan pandangan, seorang pendakwah mesti tetap berakhlak mulia kerana akhlak yang baik adalah wajah sebenar Islam.

 

Antara sifat penting dalam dakwah dan kehidupan seharian ialah kemampuan mengawal kemarahan. Nabi SAW pernah didatangi seorang lelaki yang meminta nasihat. Baginda bersabda ringkas tetapi penuh makna: “Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhari). Walaupun lelaki itu mengulang permintaan beberapa kali, Nabi tetap memberi jawapan sama: “Jangan marah.”

kawal marah 1 - BeDaie

Pesanan ringkas ini membawa makna yang sangat besar. Ia mengajar kita bahawa kekuatan sebenar seseorang bukan terletak pada fizikal, tetapi pada kemampuan menahan marah dan mengawal diri ketika emosi sedang memuncak. Orang yang cepat marah sebenarnya lemah jiwanya, manakala orang yang mampu menahan marah ialah orang yang kuat dan matang.

 

Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa kemarahan sering terjadi apabila syaitan menguasai urat saraf manusia. Ini bermakna, setiap kali seseorang dikuasai marah tanpa kawalan, dia sebenarnya telah memberi ruang kepada syaitan untuk mempengaruhinya. Oleh itu, Rasulullah SAW mengajar agar ketika marah kita segera menukar posisi — jika berdiri, duduklah; jika masih marah, berbaringlah. Baginda juga menyarankan agar kita berwuduk, kerana marah datang daripada api syaitan, dan api hanya dapat dipadam dengan air.

 

Hakikatnya, marah ialah emosi semula jadi manusia yang tidak boleh dihapuskan sepenuhnya. Namun, ia boleh dikawal dan diarahkan ke tempat yang betul. Rasulullah SAW tidak menyuruh kita memadamkan sifat marah, tetapi melarang kita menuruti hawa nafsu ketika marah. Inilah hikmah besar di sebalik sabda Baginda: “Jangan marah.”

Kematangan emosi amat penting dalam mengawal marah. Seseorang yang emosinya tidak matang cenderung bertindak terburu-buru dan menyesal kemudian hari. Contohnya, seorang pesakit yang dinasihati doktor untuk berhenti merokok tetapi mengabaikan nasihat itu kerana emosi – akhirnya dia menanggung akibatnya sendiri. Begitu juga dalam kehidupan, jika kita bertindak mengikut emosi tanpa berfikir, kita mudah kehilangan arah dan membuat keputusan yang salah.

 

Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya:

 

“Hai anakku, tiga perkara hanya akan diketahui pada tiga keadaan — kesabaran ketika marah, keberanian ketika perang, dan keikhlasan sahabat ketika kita berhajat.”

 

Kata-kata ini menggambarkan bahawa saat marah ialah ujian sebenar untuk menilai sejauh mana kesabaran dan kekuatan jiwa seseorang.

 

Kemarahan yang tidak terkawal boleh memutuskan silaturahim, merosakkan hubungan, malah membawa kepada perbuatan dosa besar seperti mencederakan atau membunuh. Sebab itulah para ulama berpesan bahawa menahan marah adalah pintu kepada segala kebaikan, manakala menurutkan marah adalah punca kepada segala kejahatan.

kawal marah - BeDaie

Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa nasihat Nabi “jangan marah” merangkumi larangan terhadap segala bentuk perbuatan yang lahir daripada kemarahan, kerana marah sering menjadi punca utama seseorang terjatuh dalam dosa. Manakala Imam Ibn Daqiq al-‘Id menambah bahawa syaitanlah yang mendorong manusia untuk marah. Oleh itu, bacaan isti‘azahA‘uzubillahi minasy-syaitanir-rajim – adalah senjata terbaik untuk menangkis bisikan syaitan ketika emosi mula membara.

 

Dalam banyak keadaan, kemarahan telah menyebabkan seseorang menyesal seumur hidup. Ramai yang kehilangan keluarga, sahabat, atau pekerjaan hanya kerana gagal menahan marah pada satu ketika. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri berdoa kepada Allah agar dikurniakan kemampuan berkata benar dalam keadaan marah mahupun tenang:

 

“Aku bermohon kepada-Mu kalimah yang benar ketika marah dan juga ketika redha.”
(Riwayat al-Nasa’ie dan Ahmad)

 

Sesungguhnya, orang yang mampu mengawal marah dengan hikmah adalah insan yang benar-benar meneladani akhlak Rasulullah SAW. Marilah kita sama-sama mendidik jiwa agar sentiasa tenang, menahan amarah, dan berlemah lembut dalam setiap urusan. Kerana sesungguhnya, akhlak yang baik adalah dakwah paling indah yang dapat kita tunjukkan kepada dunia.

0