Baru-baru ini, tular di aplikasi Threads beberapa gambar seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Little Miss Khan (LMK), yang didakwa mengenakan pakaian menjolok mata ketika berada di pantai. Namun begitu, perkara ini bukanlah kali pertama berlaku. Isu tersebut dengan pantas mencetuskan reaksi dalam kalangan netizen yang tampil menegur serta menyuarakan pandangan masing-masing, kerana ia dilihat jelas bertentangan dengan syariat Islam. Keadaan ini menjadi lebih hangat apabila dikaitkan dengan kakaknya, Neelofa, serta abang iparnya, Pencetus Ummah (PU) Riz, yang kedua-duanya dikenali dengan latar belakang agama dan penglibatan aktif dalam bidang dakwah. Susulan itu, perbincangan dalam kalangan warganet mula mempersoalkan mengapa tiada teguran terbuka daripada pihak keluarga, khususnya Neelofa yang sering terlibat dalam aktiviti dakwah seperti penganjuran kelas pengajian, usrah, dan perkongsian ilmiah.Dalam konteks ini, penting untuk difahami bahawa tanggungjawab mendidik dan membentuk akhlak seseorang anak bermula dari ibu bapa. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah At-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…” Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama dalam menjaga, mendidik dan membimbing ahli keluarga, khususnya anak-anak.Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpinnya…” Ini menunjukkan bahawa ibu bapa adalah pemimpin utama dalam institusi keluarga. Adik-beradik atau ipar hanya berperanan sebagai penasihat, bukan pemegang amanah utama dalam pendidikan seseorang individu.Dalam masa yang sama, isu ini juga membuka ruang untuk kita melihat satu hakikat penting, iman seseorang tidak boleh dipindahkan atau dipaksakan oleh orang lain. Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”Ayat ini menunjukkan bahawa perubahan, termasuk dalam aspek iman dan akhlak, bermula daripada diri sendiri. Hakikatnya kita tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir. Berkemungkinan LMK telah pun dinasihati atau ditegur oleh ahli keluarga terdekat, namun keberkesanan nasihat itu tetap bergantung kepada penerimaan hati masing-masing. Perlu difahami bahawa hidayah daripada Allah SWT bukan sesuatu yang datang secara kebetulan, sebaliknya ia perlu diusahakan dan dicari dengan penuh kesungguhan. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah dengan meletakkan diri dalam persekitaran yang bersifat Islamik, mendampingi rakan-rakan yang sentiasa mengingatkan kepada agama, serta menghadiri majlis-majlis ilmu yang mampu menyuburkan iman. Sesungguhnya, hidayah Allah tidak datang dengan sendiri tanpa usaha, tetapi menuntut kesediaan dan ikhtiar daripada setiap individu untuk mencarinya.Kesimpulannya, tular isu ini sebenarnya bukan sekadar tentang pakaian atau individu tertentu, tetapi lebih kepada kefahaman kita tentang tanggungjawab dan peranan dalam keluarga serta masyarakat. Tanggungjawab utama mendidik terletak pada ibu bapa, manakala iman pula adalah usaha peribadi setiap insan. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu memainkan peranan dengan lebih matang iaitu menegur dengan hikmah, bukan menghukum tanpa memahami keseluruhan keadaan. Akhirnya, setiap kita sedang melalui proses belajar dan memperbaiki diri. Maka, ruang untuk berubah itu perlu sentiasa ada, selari dengan ajaran Islam yang sentiasa membuka pintu taubat dan hidayah kepada semua.Ketegasan dalam beragama tidak bermakna kita boleh sesuka hati menghukum, dan kelembutan pula tidak bermakna kita boleh berkompromi dengan dosa. Mencari keseimbangan antara tegas pada prinsip dan lembut pada manusia adalah seni dakwah yang paling sukar. Pelajari cara membimbing diri dan keluarga dengan penuh hikmah melalui Bidayatul Hidayah - Panduan Membimbing Jiwa Untuk Taat terbitan Bedaie. Kerana hidayah itu milik Allah, dan tugas kita hanyalah menyampaikan dengan cara yang paling disukai-Nya. Beli Di Sini