Tatkala masyarakat sedang bergelut dengan kos sara hidup, berita mengenai dakwaan penyelewengan dana sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mencecah RM12.3 juta meruntun jiwa kita semua. Dana ini asalnya adalah himpunan ringgit dan sen daripada keringat rakyat marhaen yang berniat ikhlas mencari reda Ilahi dan membantu golongan rentan. Apabila institusi yang diharap menjadi jambatan rahmat dipalit dengan skandal pecah amanah, ia bukan sekadar satu jenayah kolar putih, bahkan ia adalah satu pengkhianatan spiritual yang menggoncang paksi kepercayaan (trust) dalam sistem kebajikan sosial masyarakat kita.
Dari sudut sosiologi dan psikologi tingkah laku, gejala ini jarang bermula dengan niat untuk mencuri jutaan ringgit. Ia sering bermula dengan rasionalisasi kecil atau entitlement illusion (ilusi kelayakan). Individu yang menguruskan dana amal, setelah bekerja keras memerah keringat siang dan malam, mula merasakan mereka ‘berhak’ mengambil sedikit ‘bahagian’ di luar prosedur sah sebagai ganjaran usaha mereka. Sifat semberono terhadap tatakelola (governance) perakaunan yang lemah mencipta ruang kelompangan. Apabila ketirisan kecil ini dinormalisasikan tanpa audit yang telus, ia akhirnya membesar menjadi barah rasuah dan salah guna kuasa berskala mega. Wang yang dipegang tidak lagi dilihat sebagai amanah yang panas, tetapi sebagai peluang memperkayakan diri.

Islam memandang serius pengurusan dana awam. Harta NGO adalah Mal al-Ummah (harta umat) yang statusnya sama berat dengan harta anak yatim. Allah SWT berfirman dengan tegas dalam
Surah Al-Anfal, ayat 27:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui.”
Ayat ini mengikat pelanggaran integriti sesama manusia terus kepada pengkhianatan terhadap Allah. Dari sudut istinbat, memanipulasi wang derma adalah pengkhianatan bertindih; mengkhianati pemberi dan menzalimi penerima.
Hal ini diperkuatkan dengan peringatan tajam daripada Rasulullah SAW melalui hadis riwayat Khawlah binti ‘Amir RA, di mana Baginda bersabda:
“Sesungguhnya ada orang-orang yang membelanjakan harta Allah dengan cara yang tidak benar (tanpa hak), maka bagi mereka adalah neraka pada hari kiamat.”
(Sahih Bukhari, No. 3118).
Hadis ini tidak membincangkan soal kecurian harta individu, tetapi secara spesifik merujuk kepada ‘Harta Allah’ (seperti zakat, wakaf, dan derma awam). Ancaman neraka diletakkan kepada mereka yang menggunakan dana awam untuk melabur dalam perniagaan peribadi, membiayai gaya hidup mewah, atau pengurusan semberono di luar akad penderma.
Bagi mengubati penyakit psikospiritual ini, para penggerak NGO mesti melakukan anjakan paradigma daripada sindrom Savior Complex (merasa diri penyelamat hebat) kepada Khadamul Ummah (hamba pelayan umat). Dari sudut operasi, integriti tidak boleh sekadar berlandaskan slogan, ia wajib diterjemahkan melalui audit luaran yang ketat, ketelusan laporan kewangan awam, dan pemisahan kuasa dalam organisasi. Secara peribadi, sifat Muraqabah (kesedaran sentiasa diperhatikan Allah) perlu dihidupkan setiap kali penyata kewangan ditandatangani. Ketakutan kepada hisab di Mahkamah Allah harus lebih besar daripada kebijaksanaan memanipulasi celah-celah undang-undang dunia.
Skandal ini adalah satu titik muhasabah yang pahit namun diperlukan. Biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas menyiasat dan menghukum mereka yang bersalah berlandaskan undang-undang yang adil. Namun, sebagai masyarakat, jangan biarkan kekecewaan ini mematikan sifat dermawan kita. Teruskan bersedekah, namun jadilah penderma yang bijak (smart donor) yang mendesak ketelusan dan pertanggungjawaban. Integriti adalah roh kepada amal jariah; tanpanya, usaha kebajikan hanyalah fatamorgana yang membakar diri di akhirat kelak.
Bila amanah dipandang ringan, masyarakat turut menanggung kesannya.
Buku Tadabbur Ad-Dhuha & An-Nas mengingatkan kita bahawa setiap amanah akan dipersoalkan, dan hati yang bersih lahir daripada jiwa yang dekat dengan al-Quran.
Dapatkan naskhah terbitan Bedaie ini untuk refleksi yang lebih mendalam.




