“Dah Kenapa Sampai Petik Nama Mak Aku ni?” Isu Tareq Fit & Pak Azad: Niat Tak Menghalalkan Cara

Viral lagi baru-baru ni isu teguran Tareq Fit. Kali ni pula dengan Pak Azad. Isu ni bukan soal siapa betul, siapa salah tapi tentang “ADAB” yang semakin hilang.

1. Teguran Tu Perlu, Tapi Cara Tu Biarlah Kena

Kita faham, niat nak menegur tu selalunya sebab sayang atau nak tengok masyarakat jadi lebih baik. Tapi, dalam dunia media sosial ni, cara kita tegur tu main peranan penting. Kalau kita tegur depan orang ramai (publicly), kadang-kadang orang yang ditegur tu bukan rasa insaf, tapi rasa macam kena “serang”.

 

Bila rasa kena serang, ego pun naik. Sebab tu penting untuk kita jaga adab bila nak bagi nasihat. Macam Allah pesan dalam Al-Quran:

 

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ

 

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik…” (Surah An-Nahl: 125)

 

Bil-Hikmah” di sini bukanlah bermaksud kena tegur dengan lembut, bukan juga dengan kasar, dan bukan juga dengan cara mengherdik dan ‘mention’ nama yang ditegur di khalayak umum tapi tegurlah dengan cara yang paling sesuai mengikut cara yang nabi ajar. Ada “STEP” dia.

tareq fit pak azad - BeDaie

Antara kaedah dan adab yang perlu diberikan perhatian dalam menyampaikan teguran dan nasihat, antaranya ialah:  

 

Pertama: Elakkanlah dari menegur kesalahan seseorang di khalayak ramai. Lihatlah situasi dan keadaan, tegur dan nasihatilah ketika dia sedang bersendirian atau di tempat yang tertutup, bukannya dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan malu kepada orang yang ditegur. Imam as-Syafie berkata: “Sesiapa yang menegur saudaranya secara sembunyi-sembunyi maka dia benar-benar telah menasihatinya dan menjaga aibnya. Namun, sesiapa yang menegurnya secara terang-terangan maka sesungguhnya dia telah memalukannya dan membuka aibnya.” 

 

Kedua: Sampaikanlah teguran dan nasihat dengan cara yang bijaksana dan menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur, berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak berasa terhina dan rendah diri. Oleh itu, berilah nasihat dengan akal fikiran bukannya dengan emosi. 

 

Ketiga: Sampaikanlah teguran dan nasihat sebagaimana kita inginkan cara diri kita sendiri ditegur atau dinasihati. 

 

Keempat:  Adalah lebih elok jika dilakukan secara bersemuka, bukannya dengan menggunakan perantaraan orang lain. 

 

Kelima: Orang yang menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk hati orang yang ditegur supaya tidak terasa hati atas teguran yang telah diberikan. 

 

2. Marah Macam Mana Pun, Jangan Sesekali Petik Nama Mak!

Ini yang buat ramai netizen terkilan. Bila Pak Azad didakwa balas teguran tu dengan kata-kata menghina kat mak si Tareq, benda tu agak melampaui batas. Mak ni “syurga” kita, kawan. 

 

Ibu adalah simbol kehormatan tertinggi bagi setiap insan. Apabila kata-kata kesat dilemparkan kepada orang tua, ia bukan sahaja mencerminkan keruntuhan adab pelakunya, malah mengundang dosa yang besar. Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita:

 

“Antara dosa besar ialah seseorang itu mencaci kedua ibu bapanya.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah terdapat orang yang mencaci kedua ibu bapanya?” Baginda menjawab: “Ya, dia mencaci bapa orang lain, lalu orang itu mencaci bapanya semula. Dia mencaci ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya semula.” (HR Bukhari & Muslim)

 

Kita maki mak ayah orang, lepastu orang tu maki balik mak ayah kita. Last-last, kita yang bawak dosa tu. Jadi, kalau tengah marah, tarik nafas dulu. Jangan sampai jari tu laju sangat taip benda yang boleh buat kita menyesal kemudian hari.

 

Kesimpulannya… Isu ni sebenarnya cermin untuk kita semua. Yang nak menegur, biarlah ada adab dan guna saluran yang betul dan yang ditegur, jangan cepat koyak sampai keluar kata makian. Sama-sama kita ambil pengajaran.

Berbeza pendapat itu biasa, tapi berbalah sehingga hilang adab itu satu kerugian. Sebelum kata-kata kita menjadi asbab runtuhnya pahala, mari kita dalami rahsia penjagaan pancaindera dan hati dalam ‘Bidayatul Hidayah’. Kitab klasik ini akan mengajar kita cara untuk kekal tenang dan beradab walaupun dalam situasi tegang. Jadikan ia rujukan utama di meja kerja atau rumah anda. Dapatkan di pautan bawah.

0