
TULAR baru-baru ini sebuah acara disko retro yang berlangsung di tepi Sungai Kelantan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Ada yang melihatnya sebagai sekadar aktiviti hiburan, manakala sebahagian lagi mempersoalkan kesesuaian penganjurannya, khususnya dari sudut nilai agama, adab masyarakat dan pematuhan kepada undang-undang. Isu seperti ini wajar dinilai dengan tenang dan adil, tanpa terburu-buru menghukum individu yang terlibat, sebaliknya menjadikannya sebagai ruang muhasabah tentang panduan Islam dalam berhibur.
Islam bukan agama yang menolak hiburan secara mutlak. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf keperluan manusia kepada hiburan yang halal dan sederhana. Antaranya, Baginda membenarkan permainan tombak oleh orang Habsyah di dalam masjid pada hari raya serta membiarkan Aisyah r.a menyaksikannya. Hal ini menunjukkan bahawa hiburan yang tidak melalaikan, tidak mengandungi unsur maksiat dan tidak melanggar syariat adalah diharuskan.
Namun begitu, kebebasan dalam berhibur tetap mempunyai batas. Allah SWT berfirman:
“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan.”
(Surah Luqman: 6)
Ayat ini menjadi peringatan agar umat Islam tidak menjadikan hiburan sebagai jalan yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT, mengabaikan kewajipan atau membuka ruang kepada perkara yang diharamkan.

Dalam konteks sesuatu program hiburan, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Antaranya ialah cara pemakaian peserta yang menutup aurat, batas pergaulan antara lelaki dan wanita, kandungan muzik atau persembahan, suasana program serta kesannya terhadap akhlak dan masyarakat. Sekiranya sesuatu hiburan membawa kepada percampuran bebas, pendedahan aurat, perlakuan tidak sopan atau menggalakkan budaya yang bercanggah dengan nilai Islam, maka umat Islam perlu menjauhinya.
Selain aspek syariat, Islam turut mengajar supaya setiap individu menghormati undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa selagi tidak bercanggah dengan syarak.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah An-Nisa’: 59)
Ayat ini menjadi asas bahawa mematuhi peraturan seperti keperluan mendapatkan permit, lesen atau kelulusan penganjuran bukan sekadar tuntutan undang-undang, malah sebahagian daripada menjaga kemaslahatan masyarakat. Pengabaian terhadap peraturan boleh mengundang pelbagai risiko termasuk keselamatan, ketenteraman awam dan konflik sosial.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu berhati-hati ketika mengulas sesuatu isu yang sedang disiasat. Islam melarang sikap tergesa-gesa menghukum atau menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya…”
(Surah Al-Hujurat: 6)
Oleh itu, setiap isu yang tular hendaklah dijadikan pengajaran, bukan medan mencetuskan kebencian atau menghina pihak lain. Teguran yang dibuat hendaklah berasaskan ilmu, hikmah dan kasih sayang agar mampu membawa kepada perubahan yang lebih baik.
Kesimpulannya, Islam mengiktiraf fitrah manusia yang memerlukan hiburan, tetapi hiburan tersebut mestilah dipandu oleh syariat dan tidak melampaui batas. Pada masa yang sama, pematuhan kepada undang-undang merupakan tanggungjawab setiap warganegara demi menjaga ketenteraman dan kepentingan bersama. Semoga setiap peristiwa yang berlaku menjadi peringatan agar kita sentiasa memilih hiburan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, memelihara akhlak dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Ingin memahami dengan lebih mendalam bagaimana Islam memandu setiap aspek kehidupan? Dapatkan buku Safinatun Najah dan Bidayatul Hidayah sebagai panduan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

