KECOH di media sosial baru-baru ini mengenai penemuan kalimah Allah dan ayat suci al-Quran yang terpampang pada dinding sebuah tokong di Jasin, Melaka. Bagi sesetengah pihak, mungkin ada yang melihatnya sebagai satu seni atau simbol ‘keharmonian’, namun hakikatnya, isu ini menyentuh satu garisan merah yang sangat besar dalam akidah umat Islam.
Kita perlu faham, meletakkan nama Allah yang paling agung di tempat ibadat agama lain bukan perkara kecil. Ia bukan sekadar hiasan dinding, tapi ia melibatkan sensitiviti syiar Islam itu sendiri.
Nama Allah Adalah ‘Lafadz al-Jalalah’, Perlu di letakkan di tempat yang mulia dan selayaknya.
Memetik rujukan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Bayan Linnas Siri ke-293), kalimah Allah adalah Lafadz al-Jalalah. Ia merupakan nama yang paling mulia dan tertinggi, yang melambangkan zat Tuhan Yang Maha Esa.
Kerana kemuliaannya itu, setiap Muslim mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan nama ini tidak diletakkan di tempat-tempat yang boleh merendahkan martabatnya atau mengundang fitnah. Apabila ia muncul di premis ibadat agama lain, ia secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan yang sangat dalam tentang kedudukan Islam itu sendiri.
Mengagungkan Syiar, Tanda Hati Yang Bertakwa
Kenapa kita perlu rasa terpanggil untuk menegur? Sebab Islam mengajar kita bahawa menghormati simbol agama adalah sebahagian daripada iman. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj, ayat 32:
“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar agama Allah maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari kesan sifat-sifat takwa dalam hati.”
Jadi, tindakan menegur atau berasa sensitif dengan isu ini bukanlah tanda kita mahu bergaduh, tetapi itulah bukti ketakwaan dalam menjaga kesucian agama daripada terus diperlekeh atau disalah guna atas nama “seni” atau “toleransi”.

Keharmonian Ada Sempadan, Islam Adalah Kebenaran
Dalam Islam, kita diajar untuk menghormati agama lain, namun pada masa yang sama, kita wajib menjaga sempadan akidah dan kesucian syiar Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kafirun (ayat 6):
“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”
Ayat ini menegaskan bahawa dalam soal ibadat dan simbol keagamaan, perlu ada garis pemisah yang jelas (separasi) bagi mengelakkan percampuran yang boleh merosakkan kemurnian akidah.
Selain itu, Islam melarang perbuatan yang boleh mengundang penghinaan kepada Allah secara tidak langsung.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An’am (ayat 108):
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan…”
Walaupun ayat ini melarang kita menghina tuhan agama lain, prinsipnya sama:
Jangan lakukan sesuatu yang boleh menyebabkan nama Allah dihina, diperlekeh, atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya sehingga mengundang fitnah.
Kita hidup dalam masyarakat majmuk, ya, tapi itu bukan tiket untuk kita membenarkan fahaman pluralisme, liberalisme atau menganggap semua agama itu sama.
Kita perlu bertegas dengan prinsip akidah kita.
Allah SWT telah menetapkan dengan jelas dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 19:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

Bila kalimah suci ini diletakkan dalam konteks yang salah, ia seolah-olah mengaburkan garis pemisah antara kebenaran Islam dengan ajaran lain. Kita hormat cara mereka beribadat, dan mereka juga perlu hormat kesucian kalimah-kalimah yang menjadi tunjang iman kita.
Kesimpulannya, Isu di Melaka ini harus menjadi titik tolak untuk semua pihak lebih peka. Jangan hanya kerana mahu nampak “mesra”, kita sanggup menggadaikan sensitiviti agama sendiri. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan, namun sebagai umat, kita kena sentiasa berilmu supaya tidak mudah terpedaya dengan tindakan yang nampak harmoni pada luaran, tapi sebenarnya merosakkan kesucian di dalam.
Ingin memahami adab, hikmah dan cara berdepan isu sensitif umat dengan panduan ulama muktabar?
Dapatkan koleksi buku terbitan Bedaie yang membimbing kita agar lebih matang dalam menjaga agama, akhlak dan perpaduan masyarakat. Kerana ilmu bukan untuk menyalakan kebencian, tetapi memandu manusia menuju kebenaran dan kebijaksanaan.
Adab dijaga, akidah tetap dipelihara. Itu baru keharmonian yang sebenar.



