TINDAKAN berani seorang wanita menegur seorang pelanggan lelaki yang selamba merokok di dalam sebuah premis makanan baru-baru ini mencuri perhatian warganet sehingga tular di media sosial.
Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, wanita tersebut dilihat tidak dapat menahan sabar apabila melihat individu berkenaan bukan sahaja melanggar peraturan larangan merokok, malah membuang sisa habuk rokok di atas lantai restoran berkenaan. Dalam rakaman tersebut, kedengaran wanita berkaca mata itu memberi teguran ‘pedas’ kepada lelaki terbabit yang hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang reaksi.

“Fikirlah sikit. Tengok tu you punya habuk rokok, you nak kutip? You nak sapu ke? Tak ada kan? “Kenapa diam? Makan-makan lepas tu keluar berjalan, tak fikir benda tu (rokok), tak hormat langsung,” katanya dengan nada tegas.
Bukan sekadar teguran lisan, wanita itu turut memaklumkan bahawa dia mempunyai bukti yang kukuh dan akan membuat laporan rasmi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut. Isu merokok di kedai makan ini sebenarnya bukanlah perkara baharu, namun masih ada segelintir individu yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesihatan pelanggan lain, terutamanya kanak-kanak dan wanita hamil.
Dari sudut agama, perbuatan menyakiti atau memberi kemudaratan kepada orang lain adalah sangat dilarang.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 58:
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan kesalahan yang dilakukannya, sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan fitnah dan dosa yang nyata.”
Ayat ini mengingatkan kita supaya tidak menjadi punca kesakitan atau ketidakselesaan kepada orang sekeliling, termasuklah melalui asap rokok yang jelas memberi kesan buruk kepada kesihatan umum.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW juga telah memberikan garis panduan sekiranya kita melihat sesuatu kemungkaran atau kesalahan berlaku di depan mata. Sabda Baginda:
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu maka dengan lidahnya (teguran), dan jika tidak mampu maka dengan hatinya (benci dalam hati), dan itu adalah selemah-lemah iman.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Tindakan wanita itu dikira sebagai satu usaha ‘mengubah dengan lidah’ demi memastikan keharmonian dan kesihatan awam terjaga. Rata-rata netizen memuji tindakan tegas wanita tersebut yang dianggap mewakili suara ramai pelanggan yang sering berasa rimas namun takut untuk menegur perokok di kedai makan.
Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah restoran di Taman Tun Aminah, Johor Bahru. Meskipun lelaki itu tidak melawan, perbuatannya yang mengabaikan papan tanda larangan merokok yang jelas terpampang di premis tersebut tetap mengundang kecaman. Ingat ya korang, nak merokok tu hak masing-masing, tapi pastikan tempatnya betul. Jangan sampai hak kita menyekat hak orang lain untuk bernafas dengan segar!
Isu ini bukan sekadar tentang perokok, tetapi berpunca daripada sikap dan bisikan yang mendorong kita mengabaikan hak orang lain. Dalam Buku Tadabbur Surah Ad-Dhuha & An-Nas, kita diingatkan bahawa setiap manusia berdepan ujian emosi, dorongan nafsu dan bisikan yang boleh mempengaruhi tindakan tanpa sedar.
Dapatkan sekarang dan bina kesedaran diri agar lebih peka, beradab serta menjaga hak sesama manusia.




