“Zaman makin terbalik yang makruf dipersoal, yang mungkar dipertahankan.”
Isu bantahan terhadap laungan azan Jumaat di sebuah surau yang tular baru-baru ini bukan sekadar perbezaan pandangan, tetapi menyentuh sensitiviti asas dalam kehidupan beragama.
Azan dalam Islam bukan bunyi biasa, tetapi syiar yang menandakan masuknya waktu solat serta panggilan kepada umat Islam untuk menunaikan kewajipan. Apabila perkara ini dipersoalkan seolah-olah satu gangguan, ia memberi gambaran bahawa kefahaman terhadap nilai agama semakin menipis dalam sebahagian masyarakat. Lebih membimbangkan, sebahagian umat Islam sendiri melihat isu ini dengan sikap terlalu berkompromi tanpa mempertahankan prinsip asas agama secara bijaksana.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila diseru azan untuk solat, syaitan akan lari sambil kentut sehingga dia tidak mendengar azan.”
(Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa besar kedudukan azan dalam Islam sehingga ia menjadi sesuatu yang ditakuti oleh syaitan. Maka, apabila manusia pula merasa terganggu dengan azan, wajar kita bermuhasabah di manakah letaknya sensitiviti dan penghormatan terhadap agama? Dalam masa yang sama, tindakan jawatankuasa masjid yang telah membuat laporan berhubung isu ini menunjukkan bahawa perkara ini tidak dipandang ringan, sebaliknya diurus melalui saluran yang betul dan berhemah.

Dalam konteks masyarakat majmuk, Islam tetap mengajar keseimbangan antara mempertahankan syiar agama dan menjaga keharmonian. Namun, keharmonian tidak bermaksud menggadaikan prinsip. Pandangan umat Islam secara umumnya melihat azan sebagai hak beragama yang dilindungi, selagi dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, respon yang matang perlu berasaskan ilmu, undang-undang dan adab, bukan emosi atau tekanan luar yang boleh menggugat identiti agama itu sendiri.
Kesimpulannya, azan bukan sekadar suara ia adalah simbol iman dan panggilan suci yang tidak wajar dipertikaikan tanpa asas. Isu ini harus menjadi peringatan bahawa mempertahankan agama perlu dilakukan dengan tegas tetapi berakhlak. Kalau kita masih peduli tentang maruah agama, pertahankan dengan ilmu dan hikmah kongsikan sebagai peringatan bersama.
Membina hidayah bermula dengan membina adab. Kembalikan hati kepada Allah dengan Bidayatul Hidayah BeDaie. Jadi, jom didik hati kembali kepada adab & hidayah dengan Bidayatul Hidayah BeDaie.




