Isu melibatkan Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam kembali mencuri perhatian masyarakat apabila konflik rumah tangga mereka menjadi perbincangan terbuka, khususnya berkaitan lafaz cerai dan rujuk yang kini dalam penelitian Mahkamah Syariah.
Apa yang sepatutnya menjadi urusan peribadi antara suami dan isteri akhirnya menjadi tontonan umum, sekaligus membuka ruang kepada pelbagai reaksi daripada simpati sehinggalah kecaman. Situasi ini bukan sahaja menguji pasangan terbabit, malah mencerminkan realiti kehidupan rumah tangga dalam era media sosial hari ini.
Dalam Islam, perkahwinan bukan hanya penyatuan dua individu, tetapi satu amanah yang besar. Ia menuntut tanggungjawab, kesabaran dan kefahaman yang mendalam sebagaimana firman Allah SWT:
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَالِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Rum: 21)
Namun, apabila berlaku konflik seperti lafaz cerai yang dibuat dalam keadaan emosi, ia boleh membawa kepada kekeliruan dari sudut hukum dan implikasi yang besar terhadap hubungan tersebut. Tambahan pula, apabila ia dilakukan di luar prosedur yang ditetapkan, keadaan menjadi lebih rumit sehingga memerlukan pengesahan mahkamah. Berdasarkan dalil Al-Quran, firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍۢ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا۟ مِمَّآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ شَيْـًٔا إِلَّآ أَن يَخَافَآ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا ٱفْتَدَتْ بِهِۦ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
“Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah: 229)

Di sinilah pentingnya ilmu dalam berumah tangga agar setiap tindakan tidak dibuat secara terburu-buru tanpa memahami kesannya.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap rumah tangga pasti diuji. Namun, ujian itu memerlukan kematangan dalam membuat keputusan.
Kadangkala, keputusan yang dibuat ketika emosi memuncak boleh membawa kepada penyesalan yang berpanjangan. Lafaz cerai bukan sekadar ungkapan, tetapi satu keputusan besar yang memberi kesan kepada masa depan kedua-dua pihak. Berdasarkan sabda Nabi SAW :
تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ الْعَرْشُ
Maksudnya: “Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan Arasy.”
Begitu juga dengan rujuk, ia bukan sekadar kembali bersama, tetapi memerlukan kesungguhan untuk memperbaiki keadaan yang telah retak berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud:
“Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”
Dalam era digital, sempadan antara kehidupan peribadi dan umum semakin kabur. Apa yang berlaku dalam rumah tangga boleh tersebar luas dalam sekelip mata.
Media sosial boleh menjadi ruang sokongan, tetapi pada masa yang sama juga menjadi medan penghakiman. Komen-komen negatif, spekulasi dan kecaman boleh menambah tekanan kepada individu yang sedang berdepan dengan ujian hidup.
Hakikatnya, tidak semua perkara perlu dikongsikan, dan tidak semua yang melihat berhak untuk menghukum.
Isu ini wajar dilihat bukan sekadar sebagai kisah individu, tetapi sebagai satu pengajaran buat masyarakat:
Pertama, lafaz cerai bukan perkara yang boleh dipermainkan. Ia mempunyai implikasi besar dari sudut agama dan undang-undang berdasarkan Nabi SAW bersabda daripada Ibnu Umar r.a:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
[Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibnu Majah (2018)]
Kedua, ilmu rumah tangga amat penting sebelum dan selepas perkahwinan. Tanpa kefahaman yang kukuh, hubungan mudah goyah apabila diuji.
Ketiga, keputusan besar tidak seharusnya dibuat berdasarkan emosi semata-mata, tetapi perlu dipandu dengan kebijaksanaan dan pertimbangan yang matang.
Keempat, menjaga aib pasangan adalah satu tanggungjawab, walaupun dalam keadaan konflik.
Apa yang berlaku kepada Marissa dan Aslam seharusnya menjadi cerminan kepada kita semua bahawa perkahwinan bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang tanggungjawab, kesabaran dan keupayaan mengurus ujian dengan hikmah.
Setiap pasangan pasti melalui fasa sukar, namun cara kita menghadapinya yang menentukan sama ada hubungan itu mampu dipertahankan atau sebaliknya.
Akhirnya, dalam setiap ujian kehidupan, yang paling penting bukan sekadar siapa yang benar, tetapi sejauh mana kita belajar, memperbaiki diri dan kembali kepada jalan yang lebih baik.
Konflik rumah tangga sering kali berpunca daripada hati yang jauh dari bimbingan. Jom kembali kepada asas adab dan penyucian jiwa dengan Buku Bidayatul Hidayah. Langkah awal untuk membina peribadi yang lebih tenang dalam menghadapi ujian hidup.




