Baru-baru ini, ruang maya dikejutkan dengan pendedahan seorang pempengaruh tempatan yang secara terbuka menzahirkan cacah tatu di tubuhnya. Alasan yang dilontarkan mengundang resah masyarakat; ia didakwa sebagai manifestasi tekanan emosi, kepenatan mental, dan ujian peribadi yang terlalu berat untuk ditanggung sendirian. Apabila jiwa yang lelah tidak menemui tempat berpaut, ungkapan “dosa terzahir di badan” menjadi satu jeritan meminta tolong (cry for help) yang memilukan.
Realitinya, insiden ini bukanlah sekadar isu pelanggaran hukum syarak semata-mata, tetapi ia adalah simptom kepada sebuah krisis yang lebih parah dalam masyarakat moden: kerapuhan kesihatan mental. Dalam era di mana kejayaan dan kebahagiaan sering diukur melalui lensa media sosial, ramai individu memendam kemurungan dan kecelaruan identiti di sebalik senyuman di hadapan kamera. Apabila tekanan mencapai tahap kritikal dan sistem sokongan (support system) gagal berfungsi, manusia cenderung mencari pelarian atau mekanisme daya tindak (coping mechanism) yang memudaratkan diri sendiri, termasuklah melanggar batasan agama.

Sebagai umat Islam, bagaimanakah sepatutnya kita memberikan respons? Adakah dengan caci maki dan boikot, atau dengan empati dan hikmah?
Di sinilah keindahan dan rahmat Islam perlu diketengahkan. Islam adalah agama yang melihat manusia secara holistik dengan mengiktiraf kelemahan manusiawi di samping menetapkan garis panduan syariat. Benar, perbuatan mencacah tatu adalah haram dan dilarang keras dalam Islam. Namun, Islam tidak mengajar kita untuk terus membuang dan menghina pesalah, terutamanya mereka yang sedang bertarung dengan kesihatan mental.
Allah SWT berfirman dengan penuh kelembutan dalam Surah Az-Zumar, ayat 53:
۞ قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣
Maksudnya: “Katakanlah: ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.'”
Ayat ini adalah sauh (anchor) kepada mereka yang sedang lemas dalam kekhilafan. Pesanan ini menegaskan bahawa tiada dosa yang terlalu besar untuk diampunkan jika diiringi dengan taubat yang nasuha. Bagi individu yang tewas dengan ujian emosi, solusi tuntas bukanlah dengan menghukum diri, tetapi dengan mencari rawatan pakar psikiatri sebagai asbab ikhtiar, dan kembali membentang sejadah sebagai tanda tawakkal.
Bagi masyarakat pula, akhlak kita dalam menegur adalah cerminan kepada wajah Islam itu sendiri. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.“ (Riwayat Muslim).
Hadis ini menuntut kita membina empati. Apabila ada saudara kita yang “sakit” jiwanya sehingga melakukan kesilapan secara terbuka, tugas kita bukan menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman, tetapi menjadi “doktor” yang merawat atau sekurang-kurangnya mendoakan. Budaya “cancel culture” dan caci maki di media sosial hanya akan menjauhkan lagi golongan ini daripada hidayah agama. Teguran perlulah dibuat secara tertutup (tabayyun), penuh adab, dan membalut luka, bukan menabur garam di atasnya.
Kesimpulannya, kemelut yang melanda figur awam ini hendaklah dijadikan iktibar besar buat kita semua. Kesihatan mental adalah perkara realiti yang menuntut rawatan, bukan stigma. Mari kita tonjolkan imej Islam yang sebenar; agama yang tegas dalam menetapkan hukum, namun sentiasa mendepakan tangan rahmatnya untuk memeluk mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan. Jadikanlah diri kita asbab manusia mencintai Islam, bukan asbab mereka terus lari daripadanya.
Setiap luka di jiwa ada penawarnya, dan setiap kesilapan ada jalan pulangnya. Jika anda sedang mencari kekuatan untuk memulakan langkah baru menuju keredaan-Nya, mulakanlah dengan Buku Bidayatul Hidayah. Ia adalah panduan ringkas namun mendalam untuk mereka yang merindui hidayah dan ketenangan hidup.




